Tokoh Penternakan – 2

chicken

Nama             : Dr Mohamad Zainol

Umur               : 48 Tahun

Perniagaan     : Ayam Kampung Organik

Dr Mohamad Zainol labur RM1 juta bagi membina ladang, cipta makanan ternakan sendiri.  Tekadnya menceburi perniagaan ternakan ayam kampung organik adalah bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah untuk menyediakan makanan halal bermutu untuk umat Islam di negara ini. Beliau menternak 40,000 ayam kampung yang diberikan makanan herba berkhasiat dan bermutu tinggi bagi memastikan dagingnya benar-benar bebas daripada sebarang campuran bahan kima. Makanan yang diberikan adalah hasil ciptaan beliau sendiri selepas melakukan penyelidikan selama setahun. Ia daripada ejen pemangkin pertumbuhan yang banyak digunakan dalam industri penternakan untuk mempercepatkan proses tumbesaran ayam.

Pengarah Urusan Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn Bhd (Al-Mumtaz) itu berkata, hasrat utama menceburi ternakan ayam kampung organik tanpa sebarang campuran bahan kimia terlarang bagi menyahut tuntutan agama dan kerajaan yang menggalakkan orang Islam di negara ini terbabit dalam industri makanan halal. “Saya terpanggil untuk menceburi ternakan ayam kampung organik ini adanya pelbagai laporan kebelakangan ini mengenai daging yang disuntik dengan pelbagai bahan yang tidak halal ditambah lagi dengan cara sembelihan meragukan umat Islam. “Hasil daripada pengamatan saya mendapati makanan yang diberikan kepada ayam untuk tujuan pembesaran dan tempoh sebenar ayam untuk membesar tidak mengikuti
kaedah yang betul menyebabkan pengguna berdepan risiko ditimpa pelbagai penyakit seperti kanser dan jantung,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini. Beliau menubuhkan Al-Mumtaz tahun lalu dengan harapan dapat menyediakan kemudahan makanan halal kepada umat Islam di negara ini dan juga di luar negara. “Langkah kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab makanan halal dunia tepat pada masanya kerana orang Islam perlu menghasilkan makanan yang halal dan bermutu tinggi seperti yang dituntut agama.

“Penyediaan makanan halal itu turut termasuk proses penyembelihan, makanan yang diberikan kepada binatang yang diternak dan pengedaran produk berkenaan,” katanya. Dr Mohamad Zainol yang mendapat pendidikan perubatan di Amerika Syarikat, pernah bekerja dengan beberapa syarikat antarabangsa seperti Pfizer serta menjawat beberapa jawatan kanan di syarikat antarabangsa berkenaan. Beliau menubuhkan klinik Medi Sina di Ampang khusus untuk perkhidmatan kesihatan sejak sepuluh tahun lalu sebelum menceburi penternakan ayam sejak setahun. “Saya memulakan perniagaan pada 2005 dengan mengimport daging dari luar negara. Selepas mempelajari selok belok perniagaan ini, tahun lalu membuka perniagaan menternak ayam kampung organik,” katanya. Ayam yang diternak secara organik itu diberi makan ekstrak herba yang kaya dengan bahan antioksida dan antikanser seperti halia, kunyit, pandan, habbatus sauda dan limau purut. Tanpa penggunaan antibiotik, tidak menggunakan hormon, beta agonist dan salbutamol. Pemakanan berkhasiat yang memanfaatkan penggunaan pelbagai bahan organik dan herba dapat meningkatkan daya tahan ayam berkenaan daripada serangan penyakit dan proses penuaan. Ayam kampung organik yang diternaknya dibiarkan bebas kerana menerusi cara itu ia mampu menghasilkan daging yang memiliki protein tinggi.

Dr Mohamad Zainol berkata, perniagaan yang diusahakan ini tidak pernah mendapat bantuan kerajaan atau pinjaman daripada mana-mana bank. “Saya menggunakan duit simpanan yang ada untuk membangunkan perniagaan menternak ayam daging organik, tambahan pula amat sukar bagi mereka yang terbabit dalam bidang pertanian untuk memohon pinjaman daripada bank,” katanya. Beliau berkata, sambutan pengguna terhadap ayam yang diternaknya adalah amat menggalakkan selepas menyedari ayam kampung organik tidak menggunakan bahan pemangkin pertumbuhan seperti beta agonist serta lemak dan enzim babi. Beliau berkata, kesedaran orang ramai terhadap makanan berkhasiat dan menggunakan bahan organik semakin meningkat di negara ini. “Sejak mula memasuki pasaran sebulan yang lalu, saya sudah menjual lebih 9,000 ekor ayam kampung organik. “Saya berhasrat mengembangkan perniagaan ini menerusi sistem francais kepada mana-mana individu yang berminat iaitu membabitkan pembukaan kedai untuk menjual ayam kampung organik yang sudah siap diproses,” katanya.

Beliau berkata, ayam kampung organik yang diternak itu kini dibekalkan ke hotel di Kuala Lumpur dan Selangor antaranya rangkaian hotel De Palma serta restoran Sari Ratu dan Wong Solo. Katanya, beliau berhasrat untuk menjadikan perusahaan penternakan ayam kampung organik ini sebagai satu perniagaan yang bersifat „niche‟ yang mana mereka yang hendak menikmati keenakan ayam kampung segar, sudah siap diproses serta menggunakan bahan halal sebagai makanan haiwan ternakan berkenaan boleh mencarinya di kedai yang akan ditubuhkan menerusi sistem francais.

Advertisements

Tokoh Penternakan 1

peladangjayaNama             : Che Azmi Bin Che Mahmood

Umur              : 49 tahun

Perniagaan  : i. Tanaman Mangga 

                          ii. Ternakan udang galah

                          iii. Ternakan Ikan Air Tawar
Encik Che Azmi Bin Che Mahmood, berusia 49 tahun adalah seorang anggota polis berpangkat Inspektor berasal dari Negeri Kelantan. Kini beliau dan keluarganya menetap di Sri Manjong, Perak. Minatnya dalam projek tanaman manga bermula sejak 18 tahun yang lalu dengan permulaan tanaman seluas 20 ekar di Lekir, Sitiawan, Perak sehinggalah membawa kepada persaraan awal beliau sebagai anggota polis. Bagaimanapun 10 tahun kemudian beliau telah memindahkan projek tersebut ke Kampung Permatang, Sri Manjung diatas tanah milik sendiri seluas 4 ekar dan tanah wakaf milik Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP) seluas 16 ekar. Pihak JAIP telah memberikan hak menyewa tanah tersebut selama 30 tahun dengan kadar sewa sebanyak 10% daripada keuntungan bersih projek. Sewa dibayar kepada Masjid Nurul Hidayah, Sri Manjong dan sehingga kini beliau telah mengusahakan tanah tersebut selama 14 tahun. Hasil usaha beliau ternyata berjaya memberikan pulangan yang lumayan iaitu 240 tan metrik buah mangga yang bernilai RM360,000 dengan keuntungan bersih RM300,000 setahun.

Beliau seorang yang berpandangan jauh dan yakin dengan kejayaan yang bakal diperolehi dengan usaha yang dijalankan dalam bidang pertanian. Lokasi tanaman mangga di Lekir telah digantikan dengan projek ternakan udang galah. Kesungguhan beliau mengusahakan projek ternakan udang galah tersebut terbukti kejayaannya sehingga dinobatkan sebagai Usahawan Ikan Jaya Kebangsaan Tahun 2001. Beliau mengusahakan sebanyak 18 buah kolam dengan purata hasil sebanyak 18 metrik tan bernilai RM540,000 dan pendapatan bersih RM270,000 setahun. Sebahagian perbelanjaan projek ternakan udang galah ini dibiayai dibawah Program Pembangunan Usahawan Peladang, Lembaga Pertubuhan Peladang sebanyak RM50,000. Setelah mempunyai pasaran yang kukuh, beliau telah membesarkan lagi projek tanaman mangga tersebut di dua buah lokasi, iaitu di Changkat Tin seluas 650 ekar dan Tronoh Mine seluas 146 ekar. Tanah tersebut disewa secara pajakan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dengan kadar sewaan sejumlah RM5,000/ekar selama 60 tahun. Disamping mengusahakan projek sendiri, beliau turut membantu melahirkan usahawan-usahawan peladang yang berminat mengusahakan projek tanaman mangga menerusi program mentor mentee. Di Changkat Tin, beliau telah mengadakan usahasama dengan SADC menganjurkan program mentor mentee dimana tanah seluas 150 ekar telah ditanam dengan tanaman mangga yang melibatkan seramai 30 orang mentee.

Disamping itu, tanah milik beliau sendiri seluas 50 ekar juga telah ditanam dengan mangga. Sementara itu tanah seluas 60 ekar di Tronoh Mine juga telah dibangunkan dibawah program mentor mentee dengan PPK Manjung Selatan. Ia diusahakan dengan tanaman mangga sejak dua tahun lalu melibatkan 10 orang mentee. Dengan dibantu oleh seramai lima orang pekerja tetap, beliau mampu menguruskan ladang mangganya dengan baik sehingga berjaya mendapatkan pensijilan Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM). Setiap tahun mangga beliau mengeluarkan hasil bermula bulan Mei hingga November. Secara purata, bagi setiap musim beliau mampu meraih hasil hingga 30 m/tan bagi setiap ekar. Kebanyakan hasil dipasarkan secara kontrak pemasaran dengan FAMA pada harga antara RM1.80/kg hingga RM2.60/kg bagi gred A dan B. Manakala bagi gred C adalah untuk dijual kepada pemborong di Kuala Lumpur dan sekitar Negeri Perak pada harga antara RM1 – RM1.50/kg. Selain tanaman mangga, beliau turut manfaatkan sepenuhnya kegunaan tanah tersebut dengan mengusahakan ternakan ikan air tawar seperti tongsan, kap rumput, tilapia hitam dan lampam di tasik yang sedia ada dikawasan tersebut secara usahasama dengan pihak swasta. Bagi setiap pusingan beliau akan menternak 60,000 ekor tongsan, 10,000 ekor kap rumput, 20,000 ekor lampam dan tilapia hitam membiak secara semulajadi. Dengan kadar kematian sebanyak 20% beliau berupaya memperolehi hasil bersih sebanyak RM240,000 bagi ikan tongsan, RM96,000 bagi ikan kap rumput dan RM16,000 bagi ikan lampam, manakala ikan tilapia hitam dijual dengan harga RM1.10/kg.